Wednesday 16 November 2011

DELEGASI KEDUA 22.10.11

Pada tanggal 22 Oktober 2011, Jawatankuasa Tindakan Kolej, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah sekali lagi melakukan tinjauan di tempat kajian iaitu Pulau Pangkor.  Delegasi kedua ini diketuai oleh Ayahanda Pengetua, Prof Madya Dr Ahmad Salihin bin Hj Baba, seorang penyelia penasihat iaitu Cik Lilyana bt Kamaruddin serta 6 orang JTK (2 Lelaki, 4 Perempuan). Antaranya ialah Mohd Nur Ashraf bin Mohd Yusoff, Muhamad Afif Wafiy bin Mohamad Taib, Nur Syazana bt Shahrim, Norkhairina bt Mohd Jamil, Lee Wai Yan serta Izzah Farhanah Ab Rahim. Seperti biasa, kami memulakan perjalanan pada jam 4 pagi menggunakan van kolej. Perjalanan yang mengambil masa selama 5 jam tersebut cukup memenatkan kami. Seterusnya, kami menaiki feri bermula di Jeti Lumut, singgah sebentar di Jeti Sg Pinang dan berakhir di Jeti Pangkor. Tanpa membuang masa kami terus menaiki sebuah van dengan bayaran RM20 ke Kampung Teluk Gedong yang merupakan pusat kawasan tinjauan kami.


Delegasi kedua yang dianggotai Izzah Farhanah, Lee Wai Yan, Cik Lilyana, NurSyazana, Afif Wafiy, Ashraf Yusoff  serta Norkhairina (photographer)

Selepas kami menikmati kuih muih di Pulau Pangkor, kami terus melakukan tinjauan sebentar di sekitar pantai Teluk Gedong. Kami mendapati terdapat banyak sampah sarap terdampar di sekitar kawasan teluk. Sistem kumbahan penduduk yang berhampiran dengan laut juga tidak sistematik kerana mereka menggunakan sistem kumbahan terus ke laut. Hal ini mengundang kepada pencemaran air di sekitar Telok Gedong.

Sistem kumbahan yang tidak sempurna dapat mencemarkan keindahan pantai Teluk Gedong

Suasana pantai di Telok Gedong

Kemudiannya, kami sempat melawat tapak tinggalan sejarah utama di Pulau Pangkor iaitu Kota Belanda yang dikenali sebagai Dutch Fort. Malalui tinjauan, kami mendapati tinggalan sejarah ini akan pupus sekiranya ia ditinggalkan dan tidak dijaga dengan rapi. Hal ini kerana, binaan sejarah ini kelihatan semakin reput dimakan usia.


Singgah sebentar di Dutch Fort
Tinggalan sejarah di Kota Belanda semakin usang dimamah usia



Pada jam 12 tengah hari, kami dibawa ke Pejabat DUN Pangkor yang terletak di Pekan Pulau Pangkor, bersebelahan Jeti Pangkor. Lawatan kami ini cukup bermakna kerana perbincangan kali ini dihadiri oleh Pegawai Khas ADUN Pangkor(YAB Dato Sri Zambry bin Abd Kadir), En Asmadi bin Teh. Antara yang lain ialah beberapa orang Tuk Sidang iaitu Tuk Sidang Abd Kadir, Tuk Sidang Mohamad Salleh, Tuk Sidang Roslan Muhammad, Tuk Sidang Marjat dan beberapa Ahli Jawatankuasa DUN Pangkor sendiri.

Diskusi ini dipengerusikan sendiri oleh En Asmadi sebagai tuan rumah kepada Pulau Pangkor. Beliau sempat menceritakan senario dan suasana kehidupan di Pulau Pangkor. Beliau memulakan agenda dengan memperkenalkan organisasi kepimpinan di Pulau Pangkor. Kemudiannya, beliau menceritakan tentang aktiviti terdekat  iaitu Program Hari Raya sempena Sambutan AidilAdha. 4 ekor lembu akan dikorbankan di Pulau Pangkor katanya. 

En Asmadi sedang mempengerusikan sidang mesyuarat 


Sidang mesyuarat yang dihadiri Pegawai Khas ADUN Pangkor, barisan Tuk Sidang, Jawatankuasa DUN Pangkor, Ayahanda Pengetua serta delegasi kedua daripada Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah


PENDIDIKAN

Dalam bidang pendidikan, beliau agak berpuas hati kerana sebilangan penduduk Pangkor telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Terdapat seramai 700 orang pelajar dari pelajar sekolah rendah dan 800 orang pelajar sekolah menengah yang masih belajar di sekolah-sekolah sekitar Pulau Pangkor. Namun begitu, terdapat sedikit masalah dalam bidang ini yang telah merencatkan mutu pendidikan di Pulau Pangkor. 98% guru-guru sekolah tinggal di luar Pulau Pangkor. Ini akan menyebabkan kurangnya perhatian atau pergaulan di luar kelas diantara pelajar-pelajar dan golongan pendidik ini terutamanya pada hari minggu. 

Walaubagaimanapun, kelas-kelas tuisyen sentiasa dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memantapkan lagi waktu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Selain itu, sekolah juga membuka peluang kepada pelajar-pelajar dengan bidang-bidang vokasional seperti bidang masakan (catering) dan bidang kelautan (maritim). Tambahan pula, semua pelajar sekolah menengah juga diberikan sebuah unit netbook setiap seorang bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengajaran dan pembelajaran.

Beliau juga berharap agar pihak Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah dapat menerima pelajar-pelajar sekolah Pulau Pangkor  untuk tinggal beberapa hari di Universiti Malaya bagi mendedahkan pelajar dengan kehidupan kampus. Selain itu, ia sekaligus meningkatkan lagi semangat pelajar-pelajar sekolah untuk menyambung pelajaran di menara gading. Beliau juga berharap agar pihak universiti lebih menekankan pendidikan awal terutamanya sekolah rendah yang merupakan asas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


MASALAH SOSIAL

Encik Asmadi juga menyentuk isu berkenaan masalah sosial dalam kalangan belia di Pulau Pangkor. Beliau menyatakan masalah sosial ini semakin menjadi-jadi kerana kurangnya perhatian daripada ibu bapa terhadap perilaku anak-anak saban hari. Sebagai contoh, masalah penyalahgunaan dadah semakin merebak dalam kalangan penduduk di Pulau Pangkor. Banyak program-program telah dilaksanakan bagi membendung masalah ini daripada tersebar ke generasi yang akan datang. Program-program keagamaan haruslah dirangka  bagi memantapkan lagi mengurangkan penularan masalah sosial dalam kalangan remaja dan belia.


SEKTOR PERIKANAN

Beliau juga berpendapat bahawa sektor perikanan ini mula dimonopoli oleh warga Cina. Para tauke mula mengaut keuntungan dengan menggunakan warga asing sebagai pekerja mereka. Hal ini kerana, warga-warga asing dibayar pada harga yang lebih murah berbanding penduduk Pangkor sendiri. Faktor usia dan kerahan tenaga juga menyebabkan nelayan-nelayan yang berusia terbiar dan mula hilang pekerjaan. Namun begitu, pihak kerajaan telah merancang untuk mengalihkan pekerjaan masyarakat kepada bidang-bidang yang lain seperti bidang keusahawanan.